UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Malaysia ambil alih kedudukan Indonesia sebagai pusat jangkitan Covid ASEAN

Indonesia dipuji sebagai antara terbaik dunia dalam tangani penularan virus Covid-19

Antara berita paling popular di Indonesia semalam menurut akhbar Tempo.co, ialah Malaysia menggantikan Indonesia sebagai pusat jangkitan Covid-19 Asia Tenggara.

“Malaysia menggantikan posisi Indonesia di dasbor data real-time penambahan kasus Covid-19 global yang dibuat Johns Hopkins University, Amerika Syarikat. 

“Malaysia kini tercatat sebagai negara penyumbang jumlah kasus terbesar dari kawasan Asia Tenggara,” lapor Tempo.co hari ini.

Akhbar itu memetik kajian Johns Hopkins University yang melaporkan untuk tempoh 28 hari lalu, Malaysia berada di tangga ketujuh dunia dengan 571,132 kes baru. 

Malaysia berada di bawah Amerika Syarikat, India, UK, Iran, Brazil dan Turki yang melaporkan penambahan 4.3 juta hingga 580 ribu kes baru di negara masing-masing dalam tempoh yang sama hingga Rabu 15 September 2021.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Filipina di bawah dua anak tangga dari Malaysia dengan kes baru Covid-19 sebanyak 492,225.

Di belakang Filipina di tempat ke-12 ialah Thailand dengan catatan 466,422 kes baru untuk tempoh terbabit.

Indonesia berada dikedudukan ke-15 dengan 298,350 kes baru sejak 28 hari lalu, manakala satu tangga di bawah ialah Vietnam. 

Kes baru harian di Indonesia yang mencapai paras tertinggi  56,757 kes pada 15 Julai jatuh kepada 2,577 Isnin lalu. 

Sementara itu, jumlah kematian harian yang mencapai 2,000 pada Julai turut menurun mendadak 276 Isnin lalu.

Sementara itu, pegawai Kementerian Kesihatan republik itu berkata usaha Indonesia menangani penularan Covid-19 ialah antara terbaik di dunia berikutan berjaya menurunkan kes sebanyak 58 peratus dalam dua minggu.

Memetik laporan di laman sesawang  ourworld.org, berdasarkan data terkini John Hopkins University, usaha Indonesia dipuji sebagai antara terbaik dunia, kata jurucakap vaksinasi Kementerian Kesihatan republik itu,  Siti Nadia Tarmizi, hari ini.