UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Masalah Terengganu, penduduk gali perigi tak tahan angkut air

Masalah air yang dihadapi penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak awal bulan Ogos masih belum nampak kesudahannya.
Walaupun beberapa sektor seperti pelancongan dan makanan sudah dibuka di negeri Pantai Timur ini, mereka yang terlibat masih tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana gangguan bekalan air.
Pengusaha kedai makan, Imran Makhzan berkata kedainya yang sudah lama tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan sudah berkira-kira untuk membuka kedai awal bulan ini tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tiada air.
“Walaupun pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menghantar bekalan secara berkala, memang menyukarkan kerana terpaksa mengangkut baldi dan tong masuk ke dalam rumah,” katanya kepada Updates Malaysia hari ini (September 3).
Imran berterima kasih kepada SATU tetapi hairan gangguan bekalan yang sudah lama berlaku masih belum pulih.
Pengusaha homestay di Kampung Kubang Jela, Manir, Mohd Yasin Embong berkata ketika pengusaha lain bersiap sedia menerima tetamu, beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada air.
“Bekalan air penting. Kami tidak boleh menerima tetamu selagi bekalan putus walaupun memang sudah bersedia untuk menerima mereka,” kata beliau.
“Memanglah kami bersyukur dengan bekalan air yang dihantar, tetapi memang tidak cukup untuk menerima tetamu, tetamu pun tidak mahu tinggal di homestay tanpa bekalan air paip.”
Seorang lagi penduduk yang terjejas berkata perigi yang digali lapan tahun lepas berguna di waktu kecemasan seperti ini walaupun hanya untuk mandi dan mencuci.
Satiman Jamin berkata beliau terpaksa membeli pam air baru untuk mengepam air dari perigi.
“Satu modal yang berguna untuk masa depan, manalah tau ada terputus bekalan lagi,” katanya berseloroh.
Penduduk di dua daerah ini pada mulanya menghadapi bekalan air terputus akibat tekanan rendah pada awal Ogos.
Selepas pulih, sekali lagi berlaku pada 23 Ogos apabila terdapat paip pecah di dasar Sungai Terengganu.

Imran Makhzan
Mohd Yasin Embong