UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Masjid Putra mohon maaf, video tular layanan “dua darjat”

Masjid Putra akan berusaha sedia perkhidmatan baik kepada jemaah "daripada pelbagai kedudukan".

Pihak pengurusan Masjid Putra di Putrajaya hari ini memohon maaf atas “kekhilafan” yang berlaku ketika mengendalikan kemasukan jemaah untuk solat Jumaat semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah tular sebuah video menunjukkan jemaah berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra untuk mendapatkan tempat bagi melaksanakan solat Jumaat di pusat pentadbiran negara berkenaan.

Ketika mereka menunggu, kelihatan seorang lelaki keluar dari sebuah kenderaan mewah terus dibenarkan masuk ke masjid berkenaan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya.

Suara latar mengiringi video mengkritik pihak masjid memberi layanan istimewa kepada orang kenamaan.

“VIP dapat masuk, kita orang ni tunggu dari 12:15 tak dapat masuk,” kata suara latar itu.

Dalam kenyataannya melalui laman Facebook, Masjid Putra berkata, pihak pentadbiran akan berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah “daripada pelbagai kedudukan”.

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran Masjid Putra akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

“Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi,” katanya.

Pentadbiran Masjid Putra berkata kehadiran jemaah di situ – sama ada untuk solat fardu lima waktu atau solat Jumaat – adalah tertakluk kepada garis panduan dan ketetapan SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Untuk solat Jumaat kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.

Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan bagi memudahkan pengurusan memastikan jumlah kehadiran bertepatan dengan kuota yang ditetapkan, katanya.

Tidak dapat dinafikan, tambahnya, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah solat Jumaat melebihi kapasiti yang ditetapkan malah kedatangan itu bermula seawal jam 11 pagi.

Apabila kapasiti mencukupi, pihak pengurusan akan menutup pintu pagar utama menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid telah memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” katanya.

Masjid Putra juga, kata kenyataan tersebut sedia menerima sebarang cadangan dan maklum balas daripada orang ramai yang boleh disalurkan terus kepada pihak pengurusan.