UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Melaka, Genting dibuka semula Oktober tapi SOP ujian saringan sukar dilaksana

SOP ujian saringan disyarat KKM menjadi cabaran pembukaan destinasi daratan- Nancy Shukri

Bandaraya Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands merupakan tiga destinasi pelancongan dijangka dibuka semula bulan depan, selepas Langkawi 16 September lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, perkara itu sudah diluluskan dalam Mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19 hari ini dan akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok sebelum diputuskan.

“Hari ini kita luluskan dan akan dibentang di mesyuarat esok. Kita sudah menamakan tiga destinasi baharu. Ini bukan eksklusif dan kita akan berikan destinasi lain, bukan sahaja pulau tapi daratan.

“Apa yang diluluskan hari ini adalah Genting Highlands, Melaka dan Pulau Tioman. Senarai ini akan ditambah. Kita ambil tempoh dua minggu supaya destinasi berkenaan dapat bersiap sedia untuk beroperasi semula.

“Mereka dibenar memulakannya pada 1 Oktober,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

SOP ujian saringan destinasi daratan akan dihalusi, Nancy

Nancy mengakui cabaran membuka kawasan pelancongan daratan seperti bandaraya Melaka adalah lebih besar berbanding pulau yang mana akses masuknya terhad dan mudah dikawal, terutama bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19.

“SOP akan diperhalusi kerana Genting Highlands dan Melaka agak meluas. Justeru, soal sama ada kita mahu lakukan ujian saringan seperti kawasan lain juga agak rumit kerana ia membabitkan kawasan luas.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mahu kita lakukan seperti mana di Langkawi. SOP untuk pulau senang, Langkawi beri satu contoh yang baik kerana apabila kemasukan dari lapangan terbang dan feri, kita dapat halang kes positif masuk ke Langkawi. Melaka itu luas namun permintaan tinggi untuk ia dibuka,” katanya.

Nancy berkata, sejak 16 September hingga Ahad lalu, seramai 10,104 pelancong direkodkan di Pulau Langkawi iaitu 6,622 pelancong tiba melalui lapangan terbang, manakala 3,482 lagi menggunakan feri.