UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Menteri umum kaedah buka semula sekolah keliru ramai pihak

Menteri Pendidikan Radzi Jidin guna pelbagai slaid untuk menjelaskan pendekatan buka semula sekolah

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin membuat pengumuman panjang lebar mengenai pembukaan semula sekolah mulai bulan depan, tetapi ramai merungut sukar memahami apa yang disampaikan.

Radzi seorang akauntan forensik dari parti Bersatu, mengambil masa sejam menggunakan pelbagai gambar rajah dalam pengumuman disiar secara langsung di televisyen dan facebook itu, namun masih ada yang bertanya:

Ada netizen menasihatkan penonton-penonton yang keliru supaya bersabar kerana yakin kenyataan bertulis Kementerian Pendidikan kemungkinan besar akan menyusul.

Kekeliruan timbul apabila menteri itu cuba menjelaskan kumpulan murid yang boleh hadir di sekolah dan yang perlu terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (secara online) atau PdPR di bawah kaedah giliran.

Kaedah ini dirumitkan dengan beberapa pengecualian yang diberi, ditambah keliru dengan perbezaan pendekatan untuk pelbagai fasa pemulihan.

Akhirnya, penonton tertanya bila sebenarnya anak-anak mereka dapat kembali ke sekolah?

Apapun apa yang dapat dirumuskan sesi persekolahan untuk tahun ini dilanjutkan hingga Mac 2022.

Murid akan kekal pada tahun persekolahan masing-masing pada bulan Januari dan Februari dan hanya naik tingkat selepas bulan Mac.

Dalam tempoh dua bulan itu, sekolah akan memastikan murid sekurang-kurangnya memiliki kefahaman asas untuk naik tingkat selanjutnya.

Manakala sesi sekolah bersemuka akan dibuka mulai 3 Oktober di negeri di bawah Fasa 3 dan 4, secara  penggiliran mingguan dengan kehadiran 50 peratus pelajar bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.

Murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan bergilir untuk tempoh seminggu bagi menghadiri sekolah.

Kumpulan murid yang giliran mereka tidak hadir ke sekolah akan terus mengkuti sesi PdPR. Namun, menteri tidak menjelaskan bagaimana guru boleh mengajar kelas secara bersemuka dan online pada masa yang sama.

Sistem penggiliran mingguan ini dikecualikan antaranya kepada pelajar sekolah berasrama penuh (SBP), murid keperluan khas dan pelajar tingkatan 6 dalam semester 2.

Bagi di negeri di bawah Fasa 1 dan 2, sekolah kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama.

Bagi murid yang menghadiri sekolah, mereka dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada sudah tidak muat lagi, asalkan berpakaian sopan dan kemas.

Radzi juga berkata bagi ibu-bapa yang tidak mahu anak mereka kembali ke sekolah di atas sebab bimbang jangkitan Covid-19, mereka perlu menulis surat kepada sekolah terlebih dulu.

Katanya, tindakan disiplin tidak akan dikenakan kepada pelajar yang mahu kekal dengan pembelajaran di rumah sehingga akhir tahun ini.

Sekolah akan mula bercuti 10/11 Disember sehingga 31 Disember.