UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Messi akhiri kemarau gol namun ramai peminat tak puas hati

Gol ditunggu-tunggu Lionel Messi untuk pasukan barunya Paris Saint-Germain akhirnya tiba jua apabila ia meledak satu daripada dua gol pasukannya untuk menewaskan Manchester City 2-0 dalam kejohanan Juara-juara Eropah.

Namun kegembiraan itu direntap sedikit rasa tidak puas hati di kalangan pengulas sukan dan jutaan peminat Messi di seluruh dunia.

Ketika PSG cemas mahu mempertahankan pintu gol mereka dari dibocori ketika satu tendangan percuma di akhir masa permainan, Messi diarahkan berbaring atas padang dibelakang benteng yang dibina rakan sepasukannya.

Memang ramai pemain pernah diarahkan berbuat begitu sejak tindakan sedemikian dipopularkan di Amerika Selatan namun untuk melihat seorang pemain bertaraf bintang terpaksa berbaring adalah sesuatu yang tidak sesuai sama sekali, pada pendapat mereka.

Messi merupakan pemenang enam kali Ballon d’Ors selaku pemain terbaik dunia.

“Kita belum pernah melihat pemain bertaraf sepertinya dan Cristiano Ronaldo terpaksa berbaring di belakanag kaki pemain yang membina benteng. Itu bukan taraf mereka,” kata pengulas sukan CNN.

Bekas bintang Manchester United Rio Ferdinand berkata apa yang berlaku itu bagaikan tidak menghormati Messi.

Beliau berpendapat anggota pasukan PSG yang lain seharusnya menawarkan diri membaringkan diri mereka dan melepaskan Messi dari tugas pertahanan berkenaan.

“Ketika jurulatih PSG Mauricio Pochettino memintanya untuk melakukan itu, seseorang seharusnya masuk ke sana dan berkata, ‘Tidak, tidak, tidak, tidak, tidak, tidak.’

“Ini tidak terjadi pada Leo Messi. Tidak, tidak, tidak, tidak. Anda tidak boleh. Jika saya berada dalam pasukan itu, saya akan berkata kepada Messi biar saya yang berbaring untuk anda,” kata Ferdinand.

Neymar, rakan sepasukan Messi di PSG, turut terkejut dengan kejadian berkenaan tetapi memilih berjenaka apabila menulis di media sosial “Apa yang kamu buat di bawah itu Lionel,” tulisnya.

Namun ramai juga yang memuji Messi kerana sanggup berbuat apa sahaja untuk pasukannya.