UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Najib tidak layak bertanding Presiden UMNO

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan UMNO yang kini ditangguhkan sehingga tahun depan. Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, ketidaklayakan itu sama sebagaimana beliau tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana disabit atas kesalahan rasuah selain berhadapan pelbagai perbicaraan lain. Katanya, kekangan bertanding dalam pemilihan parti adalah selaras
dalam Seksyen 9A(b) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan sesesorang hilang kelayakan daripada menjadi, tidak boleh menjadi atau masih menjadi sebagai seseorang yang memegang jawatan, penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar jika telah disabitkan kesalahan.

Akta berkenaan memperuntukkan seseorang hilang kelayakan apabila dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000 atau penjara tidak kurang satu tahun.

“Pun begitu Najib boleh membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk pendaftar membatalkan ketidaklayakan tersebut ataupun syarat lain yang berkaitan namun tetap tertakluk kepada pendaftar menentukan sama ada mahu menerima atau tidak,” katanya.

Pada 28 Julai tahun lalu Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan penggubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd namun kini dalam proses rayuan terhadap hukuman tersebut.

Namun status beliau sebnagai ahli Parlimen masih belum dilucutkan dan boleh menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat sehingga proses rayuan di mahkamah selesai atau Parlimen dibubarkan.

Najib dilaporkan mahu kembali sebagai Presiden parti dan berniat ke arah itu untuk membina semula parti namun tidak untuk menjadi Perdana Menteri.