UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Nurul Izzah pertahan KJ isu harga vaksin

“Ada merit di atas pemilihan jenis vaksin” - Nurul Izzah

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, mempertahankan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pembelian vaksin negara dengan menyatakan ada asas di atas pemilihan portfolio vaksin yang dibeli.

Nurul Izzah yang merupakan ahli Jawatakuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) berkata demikian ketika mengulas ciapan twitter Konsultan Pakar Pediatrik Dr Musa Mohd Nordin yang mendakwa harga vaksin Covid-19 sebenarnya berpatutan, tetapi kroni “di tengah rantaian pembekalan” yang membuatnya mahal.

Nurul Izzah berkata PAC berpuas hati dengan proses pembelian vaksin negara.

“Ada merit di atas pemilihan portfolio vaksin. Anda boleh membaca semuanya dalam laporan akan datang kami, inshaaAllah. 

“Kita mesti mengambil kira Big Pharma (syarikat gergasi farmasi) dan kecenderungan mereka untuk mengadakan NDA (perjanjian halang pendedahan harga),” kata Nurul Izzah dalam ciapan twitter hari ini.

Namun, beberapa pembaca ciapan itu, tidak berpuas hati dengan pandangan Ahli Parlimen itu.

“Laporan PAC harus memasukkan harga sebenar bukan hanya kesimpulan yang anda buat berdasarkan taklimat tertutup dengan KJ (Khairy).

Ini bukan kelab membincangkan wang peribadi tetapi duit rakyat,” komen PenSword@BerniceWrites.

“Mungkinlah doktor itu (Dr Musa) maksudkan kos pengedaran, penstoran dan sebagainya selain daripada hanya kos pembelian vaksin,” tanya Bella Hadidnt@Halydobon.

Penasihat kepada Menteri Kesihatan Dimishtra SIttampalam juga melalui ciapan twitter berkata tuduhan Dr Musa adalah serius dan tidak berasas.

“Ketika Malaysia berunding dengan Moderna, ia dilakukan terus dengan Moderna Inc, sama juga dengan Pfizer.

“Harga yang ditawar kepada kami (oleh Moderna) lebih tinggi dari Pfizer yang turut menggunakan kaedah mRNA. Kita membeli 44 juta dos Pfizer,” katanya.

Dalam ciapan twitter, Dr Musa mendakwa harga vaksin berpatutan. “Kroni dalam rantaian pembekalanlah yang membuatnya mahal.

Begitulah budaya bisnes dan etika di Malaysia. Harga patut dihadkan untuk memastikan kemampuan,” katanya.