UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Parlimen jadi “bahan jenaka” jika timbalan speaker dilantik dari “kluster mahkamah”

Reformasi dilaung hanya retorik politik, sekadar meneruskan budaya sebelum ini - Abdul Aziz Bari

Cadangan melantik Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat mula mendapat tentangan lebih-lebih lagi setiausaha agung UMNO itu masih berdepan tuduhan di mahkamah.

Ketua Pembangkan Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang juga bekas pensyarah undang-undang berkata melantik seseorang yang masih terpalit dengan kes mahkamah akan menjadikan Parlimen bahan jenaka di dalam dan luar negara.

Pelantikan Ahmad akan meninggalkan kesan yang amat besar kepada kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan negara, kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan, hari ini.

Muncul laporan hari ini yang menyebut Ahmad dicadangkan Perdana Menteri untuk menyandang jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Jawatan timbalan speaker itu jatuh kosong setelah Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan.

Azalina sebelum ini mencadangkan kerusi itu diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 pada 21 Januari tahun lalu.

Abdul Aziz berkata sepatutnya Ahmad perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan dan peranan yang sedemikian penting di Parlimen.

“Selain itu, di dalam Parlimen yang ada sekarang masih ramai calon lain yang

sesuai untuk jawatan berkenaan. 

Abdul Aziz anggap pelantikan Ahmad tak selari dengan reformasi institusi yang dilaung

Abdul Aziz mengingatkan UMNO agar tidak ghairah memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan.

Menurutnya, ini secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih dari mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

“Ini menunjukkan bahawa pentadbiran yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang tidak serius dan tidak komited kepada reformasi institusi yang dilaungkan. 

“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” katanya.