UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Pelajar IPT dibenar kembali ke kampus mulai 15 Okt

Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN - Noraini

Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dibenar masuk semula ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Bagaimanapun hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang sudah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin, dibenarkan berbuat demikian.

Menteri Pengajuan Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kebenaran berkenaan melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat seperti mana yang diluluskan oleh MKN. Proses ini akan dijalankan secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021.

“Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN di mana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan,” kata Noraini pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, berikutan kemasukan pelajar IPT melibatkan pergerakan dalam jumlah yang besar, beliau berkata, KPT menetapkan proses kemasukan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021 mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Justeru, IPT perlu membuat perancangan yang teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan, dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah berdasarkan kepada dua perkara iaitu bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan.

Manakala, bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. 

“Ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan Kerajaan,” tambahnya.

Dalam masa sama, KPT menetapkan supaya IPT menyediakan pusat pengasingan di kampus masing-masing bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan selain digalakkan untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang kembali ke kampus.

Menurut Noraini pelajar kebenaran masuk pelajar antarabansa ke Malaysia melibatkan tiga kategori iaitu pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program Mobiliti dan Edutourism dan tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.

Bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen.

Manakala, ujian swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia.

Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Noraini berkata, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP.

Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

“Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan,” kata beliau lagi.