UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Pemimpin Al-Qaeda digeruni Barat yang dikata mati, rupanya masih hidup

Pemimpin Al-Qaeda berketurunan Mesir, Ayman al-Zawahiri, yang digeruni Barat dan dianggap sudah meninggal dunia, membuat kejutan apabila muncul dalam video baharu yang disiarkan sempena ulang tahun ke-20 serangan 11 September di Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang menggantikan Osama Laden sebagai pemimpin Al-Qaeda sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada November tahun lalu

Namun pada Jun lalu, satu laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut, Ayman masih hidup dan bergerak aktif berhampiran sempadan Pakistan – Afghanistan.

Terbaru, menurut laporan India Times, kumpulan perisikan SITE yang berpangkalan di AS, Ayman muncul menerusi video berdurasi sejam bercakap mengenai pelbagai isu termasuk serbuan di sebuah pangkalan tentera Rusia.

Bagaimanapun, Ayman tidak menyebut mengenai Taliban yang mengambil alih kuasa di Afghanistan.

Terdahulu Pengarah SITE, Rita Katz mengesahkan kemunculan semula pemimpin al-Qaeda itu dalam video tersebut.

“Ayman dipaparkan dalam video baharu itu kali ini memberi beberapa bukti bahawa dia belum meninggal dunia terutamanya merujuk kepada peristiwa selepas Disember ketika khabar angin mengenai berita kematiannya muncul.

“Peristiwa disebut Ayman merujuk kepada-serbuan di pangkalan tentera Rusia oleh kumpulan Hurras al-Deen yang bersekutu dengan al-Qaeda di Syria yang didakwanya pada 1 Januari lalu,” katanya.

Video bertajuk Jerusalem will not be Judaized dan disiarkan As Sahab Media, ejen propaganda kumpulan berkenaan.