UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Penerima Sinovac dibenarkan masuki Arab Saudi

Tangkapan skrin Facebook Datuk Dr Zulkifli mengenai Sinovac diiktiraf Arab Saudi

Khabar gembira untuk umat Islam yang disuntik dengan vaksin Sinovac kerana mereka yang menerima suntikan vaksin jenis itu telah dibenarkan memasuki Arab Saudi.

Mengumumkan perkembangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata Arab Saudi menyenaraikan vaksin berkenaan sebagai antara yang diterima sebagai syarat kemasukan ke negara itu.

“Alhamdulillah, Arab Saudi menyenaraikan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, pada Isnin, 12 Julai. Tangkapan skrin Facebook itu menjadi tular di media sosial.

“Sampaikan (keputusan itu) kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang.

“Sama-sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini, dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Selain Sinovac, Arab Saudi turut menyenaraikan satu lagi vaksin COVID-19 buatan China iaitu Sinopharm.

Sebelum ini, hanya empat vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja yang diiktiraf oleh negara itu.