UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Pengusaha homestay, penduduk bantah projek mega Cameron Highlands

Kisah projek taman tema di Cameron Highlands yang mendapat tentangan dari netizen mendapat perhatian seorang pengusaha homestay di kawasan peranginan itu.

M. Karmegan yang mempunyai tujuh unit pangsapuri tiga bilik untuk disewa di Cameron berkata penduduk dan mereka yang cintakan alam semula jadi telah memulakan kempen secara dalam talian membantah projek Escape yang menggugat eko-sistem kawasan berbukit ini.

“Sudahlah Cameron puas diperkosa dan diranapkan oleh pelbagai pihak selama ini. Ini nak buat taman tema dengan luncuran salji pula, mana boleh?” kata beliau.

Karmegan yang menghubungi Updates Malaysia.com berkata sudah bertahun-tahun lamanya Cameron dirosakkan akibat keghairahan sesetengah pihak dan meminta pihak berkuasa jangan membiarkan perkara ini terus berlaku dengan projek yang tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai.

“Nampak sangat pihak berkuasa hanya hangat-hangat tahi ayam dalam mengambil tindakan terhadap petani haram. Mereka yang biasa dengan tempat ini sudah perasan cuaca tidaklah sesejuk dahulu. Sebenarnya, sudah menjadi semakin bahang,” katanya.

Sehingga kini, kempen bantahan dalam talian itu sudah menghampiri 50,000 tanda tangan dari orang ramai dan Karmegan menyeru agar lebih ramai mengambil bahagian untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap projek mega itu.

Terdahulu Updates Malaysia.com menyiarkan berita keluhan netizen yang rata-rata mahu kekalkan kehijauan dan ketenangan dan bukannya taman tema.

“Ada banyak tempat lagi boleh bangunkan taman tema kenapa pilih Cameron Highlands,” tanya seorang netizen.

Ada juga seorang netizen yang mempersoalkan impak atas suhu kawasan itu seandainya projek berkenaan diteruskan. “Jika tebang pokok-pokok bagaimana nak kekal sejuk seperti New Zealand? Elok-elok paling sejuk bawah 16 darjah bertukar jadi 26 darjah pula,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan taman tema dikenali Escape Cameron Highlands yang berasakan alam akan dibina di lanskap berbukit semula jadi tempat percutian popular di Pahang itu.

Fasa pertama taman tema itu, yang melintasi lembah seluas 60 ekar (24.28 hektar) pada ketinggian 220m, dijadualkan dibuka pada separuh pertama 2023.

Berita asal