UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Pengusaha pelancongan Perak mahu Kellie’s Castle dibuka semula

Dengan pembukaan beberapa tempat peranginan dan pelancongan di Malaysia termasuk Langkawi, syarikat yang mengendalikan Kellie’s Castle di Batu Gajah, Perak memohon Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk memberi kebenaran operasi “istana” lama ini.

Pengarah Urusan Le Shuttle Event (M) Sdn Bhd, Zamari Muhyi berkata sejak penularan Covid-19 tahun lalu, tempat tarikan pelancongan terkemuka ini menjadi suram tanpa pengunjung tetapi masih dijaga rapi.

“Kami memperbaiki kerosakan dan membersihkannya setiap hari, hanya menunggu kebenaran untuk beroperasi kerana ramai yang bertanya bila mereka boleh melawat,” katanya kepada Updates Malaysia.

Kellie’s Castle yang dibina pada tahun 1910 menjadi mercu tanda pekan Batu Gajah dan terukir sebagai bahan pelancongan gelap (dark tourism) negara disebabkan kisah misteri yang sering dikaitkan dengan rumah agam yang tidak siap ini.

Tahun lalu, sepanjang bulan Oktober, Le Shuttle Event telah menguruskan lawatan waktu malam kepada pelancong tempatan yang ingin merasai keadaan di sana di dalam kegelapan.

“Lawatan itu mendapat sambutan hangat dari orang ramai. Tetapi ia kembali suram tahun ini dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan awal tahun,” kata Zamari yang giat mempromosikan pelancongan gelap di negara ini.

Beliau memberi jaminan kakitangannya sudah mendapat dua dos vaksin dan berjanji akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan jika dibenar beroperasi.

“Sudah sampai masanya tempat-tempat pelancongan lain diberi kebenaran operasi. Kami sudah menunggu sekian lama,” katanya.

Updates Malaysia baru-baru ini menyiarkan kisah-kisah mistik yang dikaitkan dengan bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini.

Baca sini: https://updatesmalaysia.com/selepas-100-tahun-william-masih-merayau-rayau-di-kellies-castle/

Seorang peladang getah British, William Kellie Smith telah membina rumah agam ini keluarganya tetapi impian untuk mendudukinya bersama keluarga berkecai satu demi satu tragedi menimpa mereka.

Turut diperkatakan askar Jepun telah menggunakan bangunan ini ketika pemerintahannya.

Sejak ia dibuka, sering ternampak kelibat lelaki Eropah yang menyerupai Kellie berlegar-legar di salah satu koridor atau menjenguk melalui tingkap.

Rumah Agam yang dikenali sebagai Kellie’s Castle menanti pengunjung