UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Perak FC sambut ulang tahun ke-100 dengan jatuh liga.

Perak mahu bangkit segera

Pasukan Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat bola sepak Perak kerana gagal mempertahankan rekod kekal bermain di dalam Liga Super Malaysia musim hadapan.

Buat pertama kalinya pasukan berkenaan tersingkir ke Liga Perdana.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, pihaknya turut merasai kekecewaan penyokong dan peminat kerana ulang tahun ke-100 penubuhan pasukan bola sepak Perak tidak sepatutnya diraikan seperti itu.

Menurutnya, Perak FC memahami denyut nadi penyokong dan peminat bola sepak Perak yang terus setia ketika susah, senang, kalah dan menang malah peristiwa itu membawa seribu satu makna kepada pasukan serta memberi pengajaran paling bermakna untuk diperbaiki.

“Saya telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh dari Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

“Bagaimanapun, saya mengakui, di sebalik usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh kami dalam masa yang begitu singkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dimuat naik di media sosial Perak FC pada Ahad.

Sementara itu, Azman mendedahkan sebagai proses untuk Perak FC kembali bangkit, pihaknya meletakkan sasaran menjuarai Liga Perdana pada tahun hadapan.

Menurutnya, kemenangan dalam saingan Liga Perdana itu nanti akan memastikan Perak FC kembali pada saingan Liga Super.

Jelasnya, proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan dan Perak FC akan membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka masa pendek serta panjang dalam masa terdekat.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran untuk Perak FC sebaliknya ini adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat,” katanya.

Perak FC mempamerkan prestasi terburuk musim ini apabila berada di tempat kedua tercorot Liga Super sekali gus mengesahkan tempat ke Liga Perdana musim hadapan.