UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

PH, kerajaan setuju meterai CSA

Pembangkang dijangka setuju tidak menolak belanjawan, mahupun mengusulkan undi tidak percaya

Pakatan Harapan (PH) dan parti kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) petang ini dipercayai berhubung Confidence and Supply Agreement (CSA).

Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil kerajaan dan PH berkata  isi perjanjian tersebut akan didedahkan kepada umum.

“Sesuai dengan semangat dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak setuju untuk menandatangani persefahaman ini petang ini bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu tidak menyebut CSA atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan, tetapi berikutan kemelut politik dan masalah kesihatan serta ekonomi pada masa ini, ia dijangka menyerupai konsep terbabit yang tidak asing dalam demokrasi berparlimen.

Secara mudahnya, CSA merupakan kesepakatan atau konsensus bahawa ahli parlimen pembangkang tidak menolak belanjawan kerajaan dan tidak mengusulkan undi tidak percaya kepada kerajaan. 

Sebagai balasan, Perdana Menteri perlu memberi peluang dan akses kepada pembangkang mencadangkan sesuatu dasar dalam belanjawan kerajaan.

Kaedah CSA ini pernah dilakukan di parlimen Britain. Selalunya kerajaan minoriti atau kerajaan yang mempunyai sokongan ahli parlimen yang tipis, melakukan CSA bagi mengelak kekalahan dalam meluluskan belanjawan negara dan usul kerajaan di parlimen.

Apakah itu Confidence dan Supply?

Confidence merujuk kepada undi percaya atau tidak percaya kepada kerajaan di parlimen. Jika kerajaan tidak mendapat undian majoriti dalam undi tidak percaya dan sokongan rendah ketika undi percaya, maka kerajaan akan dibubarkan.

Supply merujuk kepada belanjawan kerajaan. Jika kerajaan gagal meyakinkan Parlimen meluluskan belanjawan, ia tanda kerajaan hilang kepercayaan untuk mentadbir dan perlu dibubarkan.

Menurut kenyataan bersama PH/kerajaan itu MOU itu akan disempurnakan Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Semua pihak telah membuktikan bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi masa wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara “dwi-partisan”.

“Dengan persefahaman ini, perhatian dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baru melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khas memperkasakan masalah parlimen,” kata kenyataan bersama itu lagi.

Pemimpin tertinggi PH dan Ismail Sabri terlibat dalam proses perundingan sejak bulan lalu.

Pada kenyataan bersama pertama mereka selepas pertemuan 25 Ogos, kedua-dua pihak berkata mereka setuju antaranya untuk memperkukuhkan institusi parlimen.

Pada hari Jumaat, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 bermula hari ini hingga 26 Oktober.