UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

PM Tunisia dipecat; tunjuk perasaan menjadi ganas

Rakyat marah kerajaan gagal tangani lonjakan besar kes Covid-19

Presiden Tunisia Kais Saied telah memecat Perdana Menteri Hichem Mechichi dan menggantung parlimen, setelah tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di seluruh negara.

Berikutan pemecatan itu Saied mengumumkan akan mengambil alih tugas-tugas Perdana Menteri.

Perkembangan ini disambut gembira para penyokongnya tetapi pihak pembangkang di parlimen dengan segera menuduhnya sengaja melakukan rampasan kuasa.

Menurut Reuters, kemarahan terhadap cara kerajaan menangani lonjakan besar-besaran dalam kes Covid-19  baru-baru ini telah menambah kepada keresahan orang ramai di tengah-tengah  keadaan ekonomi dan sosial yang bermasalah.

Saied memang diketahui sudah sekian lama tidak sehaluan dengan Mechichi, tokoh politik yang mendapat sokongan dari parti terbesar di Tunisia iaitu Ennahda.

Revolusi Tunisia yang berlaku pada 2011 sering dianggap sebagai satu contoh kejayaan pemberontakan Arab Spring yang kemudiannya mempengaruhi seluruh rantau Arab tetapi ia bagaimanapun tidak membawa kepada kestabilan dari segi ekonomi atau politik.

Kenaikan kes Covid-19 baru-baru ini telah mencetuskan kekecewaan masyarakat yang sudah lama terpendam. 

Minggu lalu Menteri Kesihatan negara itu dipecat setelah melakukan satu kempen vaksinasi yang gagal.

Semalam, 25 Julai, ribuan rakyat berkumpul bagi mengadakan  demonstrasi menentang Mechichi dan Ennahda, sebuah parti Islam sederhana.

Pasukan keselamatan di Tunis, ibu negara Tunisia, dilaporkan menyekat jalan ke bangunan parlimen dan jalan-jalan di sekitar Avenue Bourguiba. 

Pada masa sama pula penunjuk perasaan menyerbu pejabat Ennahda, menghancurkan komputer dan membakar ibu pejabat tempatannya di bandar Touzeur di bahagian barat daya Tunisia.