UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

PN akan bersatu hadapi PRU walaupun pendirian UMNO belum nampak jelas

Wan Saiful

Hasrat Perikatan Nasional tidak akan terkesan sekiranya berlaku pertembungan beberapa penjuru di antara gabungan tersebut ketika pilihan raya umum ke-15 nanti.
Meskipun tidak pasti sama ada Umno akan turut bersama dalam gabungan itu pada PRU15 nanti, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata
PN perlu meneruskan kelangsungan bersama parti gabungan sedia ada – PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
“Bagi saya, kita teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, dan biar rakyat membuat penilaian.

“Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat, dan memulihkan negara.

“PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru. Kita akan jalan terus bersama founding partners kita dalam PN iaitu PAS, Gerakan, SAPP dan STAR,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, yang memberikan pandangan terhadap beberapa perkara penting yang melibatkan kerjasama gabungan parti dalam PN di peringkat Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan nasional.

“PN telah meletakkan standard yang tinggi kepada negara. Kita bertegas kepada isu ketelusan, integriti, menolak salahlaku dan menolak penyelewengan.
“Saya menyeru semua komponen PN untuk membina jentera pilihan raya secara Bersama,” kata Wan Saiful.