UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Polis jamin keselamatan terkawal selepas amaran ancaman pengganas oleh Jepun

Polis beri jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman negara terkawal, selepas kedutaan Jepun mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan atau menerima sebarang maklumat mengenai apa-apa bentuk ancaman keselamatan.

“Polis mengambil maklum berhubung laporan berita bahawa pihak kedutaan Jepun di Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Wisma Putra berkata, agensi keselamatan negara sedang memantau keadaan susulan amaran dikeluarkan Kementerian Luar Jepun kepada rakyatnya.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Seorang pegawai dari kedutaan ketika dihubungi Bernama berkata nasihat itu dikeluarkan sebelah pagi hari ini, 13 September, kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia.

“Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.