UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Polis tahan 31 peserta himpunan peringatan korban Covid-19

Kebanyakan mereka ditahan kelihatan dibawa ke lori Black Maria polis yang menunggu

Seramai 31 orang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam ini selepas diarahkan bersurai daripada perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu diadakan sebagai memperingati korban Covid-19 yang setakat ini berjumlah 13,480, termasuk 178 orang untuk hari ini saja.

Kebanyakan mereka yang ditahan kelihatan dibawa ke lori Black Maria polis yang menunggu tidak jauh dari situ selepas berlaku pertengkaran di antara peserta perhimpunan dengan anggota keselamatan, lapor Malaysiakini.

Peserta terbabit kedengaran berkali-kali meminta polis menyatakan sama ada mereka ditahan atau sebaliknya namun ia tidak dilayan.

Polis kemudian bertindak menarik peserta perhimpunan dan mana yang enggan kerana bertegas mahu tahu sama ada mereka ditahan atau tidak, kemudian diangkat anggota keselamatan terbabit.

Seramai 17 lelaki dan 14 wanita – termasuk dari kumpulan Sekretariat Solidariti Rakyat yang menganjurkan himpunan #Lawan baru-baru ini – ditahan. Kebanyakan mereka adalah belia.

Sekumpulan besar anggota polis mula bersiap sedia di kawasan berkenaan seawal jam 8 malam ketika peserta mula berkumpul.

Peserta terbabit sempat berkumpul sambil membawa sepanduk dan plakad termasuk bertulis angka 13,480 yang merujuk kepada jumlah korban Covid-19 setakat ini.

Polis mula menghentikan himpunan berkenaan selepas aktivis SSR, Ashraf Sharafi, selesai membacakan kenyataan yang dibuat kumpulan anak muda itu kira-kira jam 8.30 malam.

Turut hadir di situ ialah aktivis muda lain seperti Mohammad Abdullah Al-Shatry, Qyira Yusri, Wong Yan Ke dan sekurang-kurangnya enam pemuda Parti Sosialis Malaysia

Awalnya polis meminta mereka memberikan kad pengenalan masing-masing dan kemudian merampasnya.

Beberapa anggota kedengaran memberitahu peserta himpunan agar mengikut mereka ke IPD Dang Wangi untuk “proses dokumentasi”.