UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Pulau Kapas dilanda ribut besar, pekerja berkurung di kediaman

Pulau Kapas yang terletak berhampiran daerah Marang, Terengganu malam ini dilanda ribut kuat.

Ribut seperti ini jarang-jarang berlaku di pulau peranginan yang sudah sekian lama ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan di beberapa buah negeri termasuk Terengganu.

Angin kencang diikuti hujan lebat mula melanda pukul 8 malam tetapi setakat ini tiada kerosakan ketara kepada struktur dan bangunan-bangunan yang kebanyakan chalet dan resort.

Sektor pelancongan di negeri Pantai Timur ini baru dibuka semula mulai 1 September kepada mereka yang telah lengkap dua vaksinasi, seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Ariffin Deraman.

Pulau Kapas antara yang dibuka selain Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun serta Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

“Kami baru sahaja membuka semula bilik-bilik untuk disewa. Semoga ribut ini tidak menyebabkan banyak kerosakan di sini,” kata Hawa Abdul Rahman, operator Ombak Kapas Island Beach Resort.

“Hanya pekerja resort berada di sini kerana pengunjung datang balik hari untuk bermandi-manda, semalam dan hari ini,” katanya.

Pulau Kapas jarang dilanda ribut tetapi kejadian malam ini mungkin disebabkan musim tengkujuh yang hampir tiba. Pulau-pulau di sekitar Terengganu kebiasaannya ditutup mulai Oktober dan berakhir Mac.