UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Purata tujuh hari kematian Covid-19 jatuh mendadak

Angka kematian akibat jangkitan Covid-19 negara menurun sejak tempoh seminggu lalu dengan purata harian tujuh hari hingga 18 September mencatatkan 109 kes ketika kadar vaksinasi lengkap naik kepada 56.02 peratus.

Ini berbanding purata kematian tujuh hari sebanyak 197 kes ketika kadar vaksinasi lengkap kesuluruhan populasi negara berada pada 52.58 peratus, menurut data Covidnow, laman web Kementerian Kesihatan yang dikemaskini tengah malam tadi.

Bagaimanapun setelah diambil kira kes tertunggak yang belum dimasukkan ke dalam jumlah besar sebelum ini angka kematian harian hingga tengah malam semalam ialah 324 kes, dengan 70 daripadanya ialah kes korban sebelum tiba di hospital (BID).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes korban akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 23,067 dengan 4,397 kes BID.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 yang masih lagi aktif di negara ialah 219,359.

Daripada jumlah itu, seramai 11,339 pesakit ditempatkan di hospital, bersamaan 68.6 peratus penggunaan keseluruhan katil di hospital di seluruh negara.

Daripada yang dirawat di hospital 475 berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 690 juga di ICU tetapi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, jumlah mereka yang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 ialah 23,998, manakala di rumah seramai 182,857 atau 83.4 peratus.