UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Ratusan ribu rakyat Britain ‘lepas geram’ pergi bercuti

Penumpang sanggup tunggu dalam barisan panjang untuk pemeriksaan pasport di lapangan terbang

Perkhabaran yang pasti dicemburui rakyat Malaysia, penduduk Britain sudah dibenarkan bercuti ke luar negara dan ratusan ribu pelancong dari negara itu dijangka mengunjungi beberapa negara yang tersenarai sebagai zon hijau musim panas ini.

Akhbar-akhbar di Britain melaporkan dan menyiarkan gambar suasana di dua lapangan terbang termasuk Heathrow dan Gatwick yang sedang sesak dengan para penumpang yang bersedia untuk bercuti selepas semua sekatan Covid-19 dilonggarkan.

Akhbar Mirror melaporkan bahawa pihak pengurusan Gatwick telah memaklumkan, antara 25,000 hingga 27,000 penumpang dijangka memenuhi lapangan terbang berkenaan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Pada masa sama, lapangan terbang Stansted memaklumkan sebanyak 1,330 penerbangan berlepas pada hujung minggu lalu berbanding 735 penerbangan sahaja sepanjang tahun lalu.

Di Heathrow penumpang dilaporkan sanggup beratur lama untuk pemeriksaan pasport.

Sehubungan itu, beberapa syarikat penerbangan mengambil langkah menambah kuota penerbangan bertujuan menampung permintaan yang meningkat. 

Perkembangan terbaru ini juga menggembirakan rakyat Britain kerana sebelum  ini mereka pernah disindir oleh akhbar utama Jerman, Bild, kerana tidak dibenarkan ke luar negara untuk bercuti sedangkan rakyat Jerman sudah dibenarkan untuk berbuat demikian. 

“Rakyat Britain cemburui percutian musim panas kita,” tulis akhbar itu ketika rakyat Jerman mengunjungi tempat-tempat percutian, termasuk Mallorca. Bulan lalu lebih 400,000 pelancong Jerman membanjiri Mallorca berbanding hanya 6,000 rakyat Britain.