UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Remaja 12-17 mula vaksinasi walk-in berjadual esok

Vaksinasi remaja sudah mula dilaksana di beberapa negeri pada 20 September

Pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja 12-17 tahun secara walk-in berjadual di PPV awam dan integrasi akan bermula Khamis, 23 September. 

Di bawah kaedah ini remaja dengan seorang peneman dikehendaki mengunjungi Pusat Pemberian Vaksian (PPV) yang  telah ditetapkan pada tarikh dan masa yang diberikan oleh pihak sekolah, kata Kementerian Kesihatan.

Sistem giliran ini bagi mengelak kesesakan di PPV dan risiko jangkitan COVID-19, katanya.

Remaja yang tidak bersekolah boleh walk-in di mana-mana PPV yang berdekatan tempat tinggal tetapi bergantung kepada kuota vaksin di PPV itu. 

Jika kuota pada hari itu habis, remaja itu akan diberi tarikh baru di PPV yang sama atau di klinik swasta berhampiran, kata kementerian itu dalam ciapan twitter hari ini.

Pelajar IPTA/IPTS yang berumur bawah 18 tahun boleh walk-in di mana-mana PPV dengan menunjukan kad pelajar/metrik masing-masing.

Kenyataan KKM itu dikeluarkan susulan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali semalam yang berkata agihan vaksin akan dilaksanakan secara kaedah walk-in berjadual iaitu mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, pemberian vaksin akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Manakala, jadual pemberian vaksin pula akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.

“Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV Sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi,” katanya menerusi satu kenyataan.