UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

RMK-12 dibentangkan hari ini

Hari ini akan menyaksikan satu peristiwa penting di mana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ia merupakan satu landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara tetapi kali ini lebih ditunggu-tunggu kerana rakyat mahu melihat ke mana mereka akan dibawa dari segi kesenangan dan susunan kehidupan selepas melalui pandemik yang berleluasa dan selepas ini berada di bawah fasa endemik pula.

Rakyat mahu melihat bagaimanakah rancangan berkenaan menyediakan platform lebih meyakinan untuk bangun selepas ramai mereka terkesan apabila sektor ekonomi dan pekerjaan teruk ditekan penularan wabak Covid-19.

Untuk negara pula, kerajaan mahu segera merancakkan semula kegiatan ekonomi dan serius ke arah itu namun diingatkan mesti berhati-hati di dalam perbelanjaannya.

Dalam erti kata lain, projek yang tidak perlu dan boleh dilabel sebagai pembaziran perlu dielakkan. Ini perlu bagi mengelakkan kewujudan hutang baru dan lonjakan liabiliti kerajaan.

Ismail Sabri dijadual membentangkan RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu pada 11.30 pagi selepas sesi soal jawab lisan.

Berhadapan pandemik Covid-19 di penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK-12 telah dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang hari ini, 27 Sept.