UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Ronaldo mampu main sampai usia 40, kata Rooney

Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo, mampu bermain hingga berusia 40 tahun kerana beliau dengan teliti dan bijak menyesuaikan gaya bermainnya untuk memperpanjang kariernya.

Bekas rakan seperjuangannya Wayne Rooney berkata jika diteliti corak permainan Ronaldo sudah berbeza dengan pada zaman ketika dia bermain di bawah Alex Fergusson di Manhester United dahulu.

Ronaldo, 36, menghabiskan enam musim di Old Trafford antara 2003-09, memenangi lapan trofi utama, dan bergabung semula dengan United dari Juventus baru-baru ini dengan kontrak dua tahun.

“Kali terakhir dia bermain di Old Trafford dia lebih banyak menjadi pelari, penggiring bola yang hebat, dengan kecepatan dan kekuatan,” kata Rooney, yang kini mengurus Derby County.

“Sekarang, dia adalah penjaring gol. Saya rasa permainannya telah disesuaikan secara dramatik.”

Rooney, penjaring terbanyak United sepanjang masa, menegaskan bintang Portugal dan dunia itu adalah “pemain yang sama sekali berbeza” dengan pemain yang meninggalkan Manchester United 12 tahun yang lalu.

Namun beliau masih dapat memenuhi tuntutan fizikal Liga Perdana, kata Rooney.

“Kemampuannya jelas satu perkara, tetapi kemudian dia juga menjaga dirinya secara teliti … dia masih dalam keadaan baik. Tidak mengejutkan saya jika dia bermain sehingga berusia 40 tahun, seperti yang dilakukan Ryan Giggs, dan masih menjaringkan gol.
Ronaldo, yang menjaringkan 118 gol untuk Manchester United, dijangka akan muncul ketika pasukan itu menentang Newcastle United di Liga Perdana hari ini.