UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Rumah Berkat JB dikunjungi dermawan cacat penglihatan

Dermawan cacat penglihatan Tan Chee Kiong dan Mohd Nor Saiful “menerjah” Rumah Kanak-kanak Berkat di Johor Bahru hari ini 16 September untuk menyampaikan pelbagai bantuan.
Rumah anak yatim yang terletak di Jalan Dapat menerima bekalan makanan, tilam dan mesin cetak bernilai RM2,500, hasil simpanan mereka berdua dan kehadiran mereka mendapat sambutan hangat dari penghuni berusia di antara 7 dan 18 tahun ini.
Baru-baru ini, updatesmalaysia telah menemu bual Tan, seorang ahli perniagaan yang matanya hampir buta akibat glukoma beberapa tahun lepas.

Baca di sini

Kedua-dua dermawan yang menjadi terkenal sejak tahun lalu kerana banyak membantu mereka yang kurang bernasib baik akibat pandemik Covid-19 melawat rumah anak yatim ini kerana ingin menyelami perasaan penghuni.
Kecacatan yang dialami mereka tidak sedikit pun memberi kekurangan malah mereka menganggap adalah menjadi tugas untuk membantu orang yang tidak bernasib baik.
“Kami mungkin tidak nampak, tetapi kami masih boleh merasa. Kami gembira kerana dapat membantu sedikit sebanyak kanak-kanak di sini,” katanya.
Tan berkata dari riak suara, beliau tahu mereka gembira dengan bantuan yang dibawa.
Seperti rumah-rumah kebajikan lain, Rumah Berkat ini turut merasa keperitan untuk meneruskan kehidupan ketika dunia menghadapi serangan Covid-19 dan bantuan dari Tan dan Nor Saiful banyak membantu.
Pegawai Rumah Berkat Davidson Saindran Lawrence berkata kanak-kanak di sini begitu teruja dengan kehadiran mereka berdua.
Rumah kebajikan yang mula beroperasi pada 2004 memberi perlindungan kepada anak-anak ibu tunggal yang terpaksa keluar bekerja.

Lawrence menerangkan kanak-kanak di sini menghabiskan masa dengan belajar dan mengikuti jadual ketat.

“Mereka yang tidak dapat mengikut pelajaran dengan baik akan diberi bimbingan oleh guru-guru sukarela,” katanya.

Tan (dua dari kanan) dan Mohd Nor bermesra dengan penghuni Rumah Berkat