UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Rumah Putih panas hati dengan Facebook dan YouTube

Andai di bilik darjah, Facebook, Youtube menyemak dan memberi markah terhadap kerja rumah mereka sendiri

Rumah Putih bukan sahaja menyalahkan Facebook tetapi juga YouTube sebagai platform media sosial yang dikatakannya bertanggungjawab terhadap  penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19.

Kedua-dua platform media sosial berkenaan juga didakwa tidak melakukan secukupnya untuk menghentikan penularan berleluasa maklumat palsu, menurut sumber yang dipetik oleh Reuters.

Kritikan ini muncul hanya seminggu selepas Presiden Joe Biden menggelar Facebook dan syarikat media sosial sebagai “pembunuh” kerana gagal berbuat apa-apa untuk memperlahankan penyebaran maklumat palsu berkaitan vaksin. 

Seorang pegawai kanan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat berkata salah satu masalah utama adalah “penguatkuasaan yang tidak konsisten.” 

YouTube – satu unit di bawah Google Alphabet – dan Facebook berupaya untuk memutuskan penyebaran maklumat palsu di platform mereka namun  apa yang mereka lakukan setakat ini membuat Rumah Putih tidak berpuas hati.

“Facebook dan YouTube … adalah hakim, juri dan penjatuh hukuman ketika membicarakan apa yang sedang berlaku di platform mereka sendiri,” kata seorang pegawai lain yang cuba menggambarkan pendekatan yang diambil oleh media sosial berkenaan terhadap kebanjiran maklumat palsu.

“Andainya ini adalah bilik darjah, mereka seolah-oleh menyemak dan memberi markah terhadap kerja rumah mereka sendiri,” tambahnya. 

Antara penyebaran maklumat palsu berhubung vaksin yang ditentang oleh kerajaan Biden termasuk dakwaan vaksin Covid-19 tidak berkesan, mengandungi mikrocip dan merosakkan kesuburan wanita.

Syarikat-syarikat media sosial baru-baru ini dikritik oleh Biden, setiausaha akhbarnya Jen Psaki, dan pakar bedah Vivek Murthy, yang semua mengatakan penyebaran pembohongan mengenai vaksin menyukarkan usaha memerangi wabak itu dan menyelamatkan nyawa.

Laporan baru-baru ini dari Center for Countering Digital Hate (CCDH) menunjukkan bahawa ada 12 akaun anti-vaksin yang mana secara terkumpul menyebarkan hampir dua pertiga daripada keseluruhan maklumat palsu anti-vaksin di atas talian. Enam dari akaun tersebut masih wujud di YouTube.

Perjuangan menentang maklumat palsu berkaitan vaksin menjadi keutamaan kerajaan Biden pada ketika kadar vaksinasi menjadi perlahan  disebalik risiko yang ditimbulkan oleh varian Delta, dengan ramai rakyat di negara berkenaan enggan divaksinasi.