UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Sabah, Johor, Kelantan ketinggalan penerimaan dos lengkap

Negara mungkin menjangkaui lebih separuh daripada penduduk dewasanya menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang 31 Ogos, tetapi data terkini menunjukkan jurang perbezaan yang ketara di antara negeri.

Perangkaan setakat 14 Ogos menunjukkan hampir 10.5 juta atau 44.5 peratus penduduk dewasa di negara ini telah menerima dua dos vaksin.

Selain itu, seramai hampir  7 juta atau 72.1 peratus telah menerima satu dos vaksin.

Kerajaan sebelum ini meletakkan sasaran vaksinasi lengkap 100 peratus penduduk dewasa menjelang Oktober.

Dalam satu ciapan Twitter pagi ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) melaporkan negeri paling kurang penerimaan vaksin lengkap ialah Sabah dengan hanya 21.7 peratus penduduk dewasanya menerima vaksin dua dos, berbanding dua tertinggi iaitu Labuan (88.1 peratus) dan Sarawak (79 peratus).

Johor juga disenaraikan di kedua terbawah dengan 26.5 peratus penduduk dewasa menerima dua dos dan Kelantan 27.6 peratus.

Manakala Lembah Klang (Selangor, KL dan Putrajaya) yang mempunyai jumlah penduduk tertinggi negara mencatat 64.7 peratus penerimaan vaksin dua dos dalam kalangan penduduk dewasa.

Wilayah itu mencatatakan 104.2 peratus penerima satu dos berikutan pemberian vaksin kepada penduduk tambahan sejak bancian sebelum ini, penduduk tanpa dokumen dan bukan pemastautin.