UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Sasaran imuniti kelompok 80 peratus tercapai

Akhirnya tercapai sudah sasaran imuniti kelompok 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi di negara ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kadar 80 peratus berkenaan menunjukkan lebih 40 juta dos vaksin sudah diberikan kepada populasi Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu tidak dapat menyembunyikan rasa teruja beliau sasaran berkenaan menjadi kenyataan dan bangga, lebih-lebih lagi ia dicapai sebulan lebih awal dari yang telah jadualkan.

“Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini, 22 September.

Beliau berkata, kejayaan mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan betul.

“Ini juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang menjadi antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Namun, katanya, tumpuan kini patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih bawah 60 peratus.

“Semalam, Pasukan Bertindak Immunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) telah ditubuhkan untuk memastikan anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima vaksin.

“Setakat ini, lebih 85,000 remaja menerima vaksinasi lengkap dan disasarkan 80 peratus remaja akan menerima vaksinasi lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 bermula,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyidin juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutama untuk petugas barisan hadapan yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi satu ciapan di akaun Twitter, hari ini memaklumkan sebahagian daripada 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksinasi itu adalah termasuk 374,552 guru sekolah.

“Hari ini Malaysia telah berjaya mencapai sasaran 80% populasi dewasa lengkap divaksinasi.

“Daripada jumlah ini, seramai 374,552 bersamaan 90.48 peratus keseluruhan guru sekolah telah divaksin. Alhamdulillah!,” katanya.

Bagi 2,140 guru yang masih enggan divaksin, katanya, tindakan sewajarnya akan diambil Kementerian Pendidikan Malaysia.