UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Selepas 100 tahun, William masih merayau-rayau di Kellie’s Castle

Berhantukah Kellie’s Castle, sebuah rumah agam tiga tingkat yang terbiar sekian lama dikatakan milik peladang getah British, William Kellie Smith?
“Istana” yang sebelum Covid-19 menjadi tempat tumpuan pelancong tempatan dan luar negara ini terletak di Batu Gajah, Perak, lengang sejak tahun lalu. Rekabentuknya yang unik sering menjadi tumpuan pengejar paranormal setelah berita penemuan roh Encik Kellie oleh beberapa orang sebelum ini.
Pernah diadakan lawatan waktu malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilonggar tahun lalu dan mendapat sambutan hangat tetapi ditutup apabila PKP dikuat kuasakan sekali lagi di seluruh negara.
Pelbagai video yang mengisahkan lawatan waktu malam di sana tetapi tidak ada yang menampakkan apa-apa entiti, bagaimanapun menonton video-video ini memang menaikkan bulu roma.
Apa tidaknya, bangunan yang sudah berusia lebih 100 tahun dan dikatakan tempat penyeksaan mangsa-mangsa tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua tentu sekali menyimpan 1,001 rahsia di sebalik kisah sedih yang menimpa keluarga William.


Tetapi yang sering diperkatakan adalah penampakan lelaki Eropah yang menyerupai tuan punya istana yang tersergam ini iaitu Encik Kellie. Beliau sama ada dilihat berlegar-legar di salah satu koridor atau menjenguk melalui tingkap.


Banyak kisah menarik tentang bangunan tidak siap yang dibina pada 1910. Di antaranya adalah kisah seorang ahli naturalis Kanada yang ke sana untuk kajian. Beliau ternampak satu lembaga yang menyerupai lelaki Eropah sedang menjenguk dari salah satu tingkap.
Ramai yang percaya itu adalah roh Kellie yang berlegar di bangunan itu, seolah-olah tidak tenang kerana istana idamannya itu tidak siap.
Ada juga pengunjung yang mendakwa terserempak dengan budak perempuan “Mat Salleh” berusia enam tahun berkeliaran di situ dikatakan anak Smith iaitu Helen.
Kisah sekumpulan pemuda yang cuba melawat Kellie’s Castle pada waktu petang ditahan oleh seorang pengawal juga menyeramkan. Selepas ditegur, pengawal itu seolah-olah terbang ke pondoknya menyebabkan mereka bertempiaran lari.
Memang menyeramkan. Tahukah anda Istana yang kelihatan gah dari tepi jalan ini sebenarnya pernah terbiar bertahun-tahun lamanya sebelum diberi nafas baru oleh kerajaan negeri Perak?
Dikatakan hanya sebuah jambatan buruk yang menghubungi dunia luar ke istana yang dilitupi pokok dan ramai budak-budak sekolah yang memasuki kawasan itu di dalam tahun 70-an dan 80-an.
Kellie’s Castle ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di Agra, India dan buruh binaan untuk projek ini juga dibawa khas dari India, ini menjawab persoalan mengapa terdapat sebuah kuil India di sebelah rumah agam ini sehingga kini.
Di celah-celah patung di kuil ini terdapat patung yang menyerupai Smith.
Ketika di Tanah Melayu, Smith bersama pemilik hartanah, Alma Baker, mendapat konsesi penerokaan 360 hektar hutan di Batu Gajah, Perak dan dengan keuntungan besar yang dibuat, dia membuka ladang getah dan lombong bijih timah dikenali Syarikat Perlombongan Timah Kinta (Kinta Kellas Tin Dredging Company).
Sekembali beliau ke England, Smith berkahwin dengan gadis Scotland, Agnes dan membawa isterinya kembali ke Tanah Melayu pada 1903 di mana mererka dikurniakan anak perempuan iaitu Helen.
Agnes melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony pada 1915. Kelahiran Anthony membawa keuntungan berlipat ganda dalam empayar perniagaan bapanya.
Smith memulakan perancangan membina istana besar dinamakan Kellas House sempena nama rumahnya di Scotland, namun lebih dikenali sebagai Kellie’s Castle yang mempunyai 14 bilik termasuk bilik linen, bacaan, fotografi, simpanan arak dan bilik bawah tanah yang dilengkapi terowong rahsia berserta kemudahan lif yang pertama dibina seumpamanya di Tanah Melayu, selain terowong udara.
Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 kerana dijangkiti radang paru-paru menyebabkan projek rumah agamnya terbengkalai.
Agnes pulang ke England dan anak lelaki mereka turut terkorban di dalam perang Dunia Pertama manakala Helen menghilangkan diri. Tiada siapa di dalam keluarga mereka meninggal dunia di dalam Kellie’s Castle tetapi peliknya mereka juga yang masih kelihatan di bangunan yang strukturnya tetap utuh dan bertahan sehingga kini.
Penulis juga tidak sabar menanti bilakah kemelut Covid-19 akan berakhir untuk melawat semula bangunan terbiar ini.

Bagaimana hendak ke sana?

  • Menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), anda boleh mengambil susur keluar ke Plaza Tol Batu Gajah atau Simpang Pulai.
  • Selepas keluar Plaza Tol Simpang Pulai, ambil simpang ke kiri.
  • Kira-kira tiga kilometer anda akan menemui simpang ke kanan menuju ke Batu Gajah (Kellie’s Castle).
  • Jika dari Plaza Tol Batu Gajah, selepas keluar dari plaza tol, ambil ke kanan menuju ke Ipoh.
  • Kira-kira enam kilometer, anda menemui simpang dan belok ke kiri menuju ke Batu Gajah (Kellie’s Castle).