UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Selepas Langkawi, Desaru mahu kembali beraksi

Pembukaan semula Langkawi kepada pelancong dalam negeri tanpa menghadapi banyak komplikasi memberi semangat kepada pemain industri pelancongan di Desaru, Johor.
Pengarah Dash Outdoors yang menguruskan sukan air, kempen bina diri dan pelancongan tempatan untuk hotel-hotel di sini, Simon Murphy berkata industri yang semakin kelam ini harus dibenarkan beroperasi secepat mungkin untuk menghidupkan semula kerancakan di Desaru yang baru-baru ini mendapat pengiktirafan dari majalah Time sebagai salah satu 100 tempat terbaik di dunia untuk dilawati.
Katanya, pembukaan Langkawi tanpa banyak masalah ketika pandemik Covid-19 masih berlegar-legar sepatutnya dijadikan penanda aras kepada Desaru.
Desaru yang dahulunya riuh dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara kini sunyi. Keadaan ini berlarutan sejak Mac tahun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan pertama kali dikuatkuasakan.
Murphy memahami kedudukan kerajaan dan berterima kasih di atas bantuan yang diberi tetapi kini adalah masa untuk kembali berdiri di atas kaki sendiri.
“Kebanyakan pekerja industri ini telah mendapat dua dos vaksin dan kami hanya mahu kembali bekerja.
“Kami ingin mengalu-alukan pelancong tempatan dan Singapura yang sentiasa memenuhi pantai bersih di sini terutama di hujung minggu.
“Kita sudah bersedia, begitu pun kami tidak akan lupa kepada prosedur operasi standard yang dikenakan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Murphy berkata potensi Desaru untuk menjadi destinasi kelas pertama masih tersimpan dan menjanjikan pengalaman terbaik jika dibenarkan beroperasi semula.

Desaru yang dahulunya riuh rendah kini sunyi tanpa pelancong dalam dan luar negeri
Simon Murphy