UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Semak dan Imbang di Parlimen terkubur?

Anwar Ibrahim (kiri) sebagai ketua pembangkang akan diberi hak dan kemudahan “sewajarnya”

Apakah Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai Kerajaan dan Pakatan Harapan hari ini bermakna Parlimen tidak ada lagi pembangkang?

Apakah peranan semak dan imbang tidak akan wujud lagi di Parlimen?

Setakat ini tidak banyak yang diketahui berhubung apa yang digelar MoU Transformasi dan Kestabilan Politik oleh kerajaan dan MoU kepercayaan-perbekalan- reformasi (CSR) oleh PH itu.

Butir lanjut mengenainya akan diketahui esok apabila dokumen penuh MoU dimuatnaik dalam laman web @MYParlimen.

Sehingga itu, apa yang pasti pembangkang masih wujud di Parlimen susulan kenyataan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa partinya yang mempunyai empat Ahli Parlimen tidak terikat dengan MoU itu.

Parti pembangkang lain seperti Warisan yang mempunyai lapan ahli Parlimen juga tidak memeterai MoU itu, namun masih tidak jelas pendirian parti itu.

Apa sekalipun, jelas MoU itu boleh dianggap satu “gencatan politik” di antara PH dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang baru dilantik sebagai Pengarah Komunikasi PH, MoU hanya sah sehingga Dewan Rakyat dibubarkan iaitu seperti dipersetujui tidak awal daripada 31 Julai 2022.

Fahmi juga berkata PH berhak menamatkan MoU itu sebelum tarikh berkenaan jika tidak ada pembaharuan berhubung perkara yang digariskan MoU.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil

Penganalisis politik James Chin, seorang profesor Kajian Asia, Universiti Tasmania, turut menyatakan MoU itu adalah gencatan politik sehingga PRU15.

“MOU itu ialah satu perkara baik tetapi tidak akan mengubah secara berkekalan politik negara,” katanya dalam satu ciapan twitter hari ini.

Pada pandangannya, PH akan menghadapi kekangan berikutan MoU itu dan melihat di bawahnya perubahan akan banyak dilihat dalam bidang ekonomi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula berpendapat, MoU secara tidak langsung merupakan satu akuan oleh PH dalam mengesahkan tampuk kekuasaan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Pembangkang sebenarnya tak ada pilihan yang banyak selain menerima MoU ini bagi memastikan kelestarian politik berjalan dengan baik,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.

Ismail Sabri pula dalam kenyataannya berkata MoU itu merangkumi :

I. Pemerkasaan Pelan COVID-19;

II. Transformasi Pentadbiran;

III. Pembaharuan Parlimen;

IV. Kebebasan Institusi Kehakiman;

V. Perjanjian Malaysia MA63; dan

VI. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Sementara itu, Malaysiakini mendakwa sudah melihat MoU itu dan melaporkan beberapa butir terkandung dalamnya.

Secara asasnya, PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.

Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.

Bagaimana ia berfungsi?

Jawatankuasa kerja dengan 10 anggota akan dibentuk, merangkumi lima wakil kerajaan dan lima wakil pembangkang.

Mereka akan mengadakan pertemuan setiap dua minggu atau ketika waktu yang dipersetujuji bersama, untuk berunding dan memantau pelaksanaan MoU.

Apakah syarat-syarat asas?

Kerajaan setuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Ada juga klausa khusus yang menyatakan persefahaman ini tidak patut dirahsiakan.

Ia juga menyatakan persetujuan adalah apa yang terkandung dalam memorandum, dan sebarang cadangan lisan atau tidak bertulis tidak terpakai.

Pelanggaran terhadap persetujuan akan menyebabkannya tidak lagi sah.

Apa yang diharapkan daripada PH?

PH akan menyokong atau berkecuali dalam undian belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.

Ia dengan syarat penggubalan belanjawan dan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan dengannya dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan PH.

PH juga akan menyokong atau berkecuali dalam sebarang RUU yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya, dengan syarat perangkaannya turut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

MoU turut mengandungi bahagian yang menyatakan ia tidak boleh menghalang peranan PH sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Apa yang diharapkan daripada kerajaan?

Pelaksanaan MoU dibahagikan kepada tiga garis masa – perkara yang akan dilaksanakan segara, perkara yang akan dilaksanakan dalam tahun ini dan perkara yang akan dilaksanakan dalam separuh pertama 2022.

Pembaharuan Parlimen

Kebanyakan perkara yang perlu dilaksanakan segera berkaitan dengan pembaharuan parlimen.

Ia adalah seperti berikut:

  • Mewujudkan lebih banyak jawatankuasa pilihan kas parlimen dan menstruktur semula jawatankuasa sedia ada.
  • Memastikan komposisinya mencerminkan perwakilan parti di Dewan Rakyat.
  • Memastikan jawatankuasa dipengerusikan secara sama rata oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Kerajaan menyediakan pegawai sokongan dan dana yang wajar untuk menyokong perjalanan jawatankuasa.
  • Meminda Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara teratur.
  • Peruntukan sama rata untuk ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Memastikan ketua pembangkang diberikan hak dan kemudahan yang sewajarnya.

Satu kaveat yang perlu dinyatakan adalah jaminan peruntukan sama rata hanya untuk ahli parlimen yang terlibat dalam MoU ini.

Ini bermakna kerajaan masih boleh menafikan peruntukan sama rata terhadap parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Warisan yang tidak menyertainya.

Satu lagi yang perlu dinyatakan adalah MoU ini tidak menggariskan secara jelas berkenaan hak dan kemudahan “sewajarnya” kepada ketua pembangkang.

Terdahulu, ada yang mencadangkan ia perlu setaraf dengan seorang menteri.

Satu lagi perkara dalam pembaharuan Parlimen adalah pengenalan sebuah Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membolehkan Parlimen menguruskan sendiri kewangannya.

Ia perlu diluluskan selewat-lewatnya pada sidang mesyuarat kedua Penggal Ke-5 Parlimen, yang dijangka berlangsung pada separuh pertama 2022.