UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Senarai nama enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

Istana Alam Shah, Klang

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bakal mempersembahkan senarai nama individu yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini.

Senarai nama tersebut membabitkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pentadbir masjid dan penolong pendaftar nikah di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, seramai 827 individu yang terlibat telah dipanggil bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan menerusi program vaksinasi khas yang dianjurkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam hari ini, 22 Oktober.

“Sehingga jam 11 pagi tadi dapat dilihat jumlah kehadiran adalah seramai 146 orang dan 80 peratus daripadanya menolak untuk mengambil vaksin.

“Kita masih menunggu lagi semua individu ini hadir sehingga jam 3 petang dan selepas itu, nama mereka akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor,” katanya kepada pemberita. Sultan Sharafuddin pada awal September lalu bertitah bahawa pihak yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas selepas ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, perbincangan secara lanjut akan dilakukan terhadap tindakan yang boleh dikenakan mengikut peruntukan kuasa yang ada kepada mereka yang enggan mengambil suntikan tersebut.