UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Serba Dinamik sedia patuh kerangka ESG agar pikat lebih banyak pelabur institusi

Serba Dinamik akan umum QR 30 Jun, 2021 pada 29 Sept dan jangka laporan SIR siap Oktober

SERBA Dinamik Holdings Bhd sentiasa memantau semua operasinya mematuhi kerangka ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus), berikutan amalan itu penting dalam menarik pelabur institusi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Datuk Dr Mohd Karim Abdullah berkata syarikat itu juga sedang menumpu kepada projek yang boleh menjana pendapatan tunai yang cepat, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kerja-kerja operasi dan penyelenggaran (O&M).

“Unjuran perniagaan agak optimis tetapi ia tetap bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19,” beliau memberitahu The Malaysian Reserve.

Pematuhan ESG jadi kayu pengukur pelabur institusi – Mohd Karim

Berikutan isu kemampanan semakin diutamakan dalam sektor korporat, Serba Dinamik menyedari pematuhan ESG sudah menjadi kayu pengukur kepada kebanyakan pelabur dalam membuat keputusan pelaburan mereka.

Sementara itu, Mohd Karim berkata keputusan kewangan suku berakhir 30 Jun, 2021, Serba Dinamik akan diumumkan pada 29 September.

Syarikat itu mengubah tahun kewangannya daripada berakhir 31 Disember, 2020 kepada berakhir 30 Jun, 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini dan “lockdown” di beberapa negara lain yang menyukarkan usaha syarikat memuktamadkan penyata kewangannya.

Pada suku sebelumnya iaitu berakhir 31 Mac, 2021 Serba mencatatkan keuntungan bersih RM113.32 juta di atas perolehan RM1.38 bilion.

Segmen O&M adalah penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat iaitu RM1.26 bilion atau 90.5% daripada keseluruhan perolehan.

Berhubung semakan bebas Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) ke atas isu audit yang dibangkitkan oleh bekas juruaudit luarnya, KPMG Ltd, Mohd Karim berkata ia sedang berjalan dan dijangka siap menjelang Oktober 2021.

“Laporan itu akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia,” katanya.

Serba Dinamik melantik EY sebagai penyemak bebas pada akhir Julai lalu bagi menentukan kesahihan isu audit yang dibangkitkan oleh KPMG sebelum ini yang kini dipertikaikan.

Mohd Karim berkata pengarah bukan eksekutif bebas Serba Dinamik mendapat laporan kemaskini daripada EY dua minggu sekali.

KPMG menarik diri sebagai juruaudit luar selepas Serba Dinamik mengemukakan saman terhadapnya pada 24 Jun susulan tidak puas hati cara firma audit itu melaksanakan tugasnya.

Pasa 4 Ogos, Serba Dinamik melantik Nexia SSY PLT sebagai juruaudit luar barunya.