UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Serba Dinamik terus cari peluang niaga untuk tingkat tahap keuntungan

Syarikat yakin laporan semakan bebas khas dapat didedahkan pada suku keempat tahun ini untuk menghilangkan semua keraguan.

Serba Dinamik Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, meraih pendapatan RM1.2 bilion pada suku keenam berakhir 30 Jun 2021.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM14.8 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM13.8 juta untuk suku dalam kajian.

“Sama seperti suku sebelumnya, tidak ada perbandingan untuk suku yang sama tahun kewangan sebelumnya kerana Serba Dinamik mengubah tahun kewangannya menjadi 30 Jun 2021 daripada 31 Disember 2020 pada 7 Mei lalu.

“Untuk suku dialam kajian, segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan berkenaan, dengan nilai RM1.1 bilion atau 90.6 peratus daripada jumlah pendapatan. Ini disebabkan oleh aktiviti MRO dan IRM yang kuat di Asia Barat iaitu UAE, Qatar dan Oman, diikuti oleh Malaysia.

Segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kumpulan adalah penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan dengan RM100.4 juta atau 8.3 peratus daripada jumlah pendapatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberikan sumbangan RM11.8 juta atau satu peratus kepada jumlah pendapatan bagi suku yang dikaji.

Segmen pendidikan dan latihan kumpulan memperoleh pendapatan sekitar RM900,000 atau 0.1 peratus menerusi Serba Dinamik Education Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai Universiti Malaysia Sains Komputer & Kejuruteraan (UNIMY).

UNIMY adalah platform pendidikan ICT yang memupuk graduan yang pakar dengan kemahiran ICT.

“Secara geografi, wilayah Asia Barat adalah penyumbang terbesar pendapatan, memberikan RM744.4 juta atau 61.6 peratus daripada jumlah pendapatan untuk Q6FY21. Rantau Asia Tenggara, RM409.3 juta atau 33.9 peratus daripada jumlah pendapatan. Wilayah Asia Tengah dan Selatan menyumbang RM44.6 juta atau 3.7 peratus daripada jumlah pendapatan.

“Baki sumbangan datang dari Tanzania dan Inggeris masing-masing pada RM4.8 juta atau 0.4 peratus dan RM4.63 juta atau 0.4 peratus,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah (gambar bawah), berkata syarikat itu fokus kepada operasi  dan pengurusan urusannya di atas dasar perniagaan seperti biasa.

Pada masa sama Serba Dinamik akan terus mencari peluang perniagaan untuk meningkatkan tahap keuntungan.

“Semua segmen perniagaan kami menunjukkan pertumbuhan yang membanggakan. Kumpulan gigih dan proaktif dalam mencari peluang baru di daerah bukan minyak dan gas.

Untuk keseluruhan tempoh 18 bulan, kumpulan mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM8.6 bilion dengan PBT dan PAT masing-masing masing-masing berjumlah RM848.4 juta dan RM758.4 juta, katanya.

“Semakan bebas khas (dilaksana oleh Ernst and Young)  berjalan dengan baik dan kami berharap laporannya dapat didedahkan pada suku keempat tahun ini untuk menghilangkan semua keraguan atas pengendalian kumpulan.
Kami tetap optimis terhadap prospek kumpulan walaupun keadaan semasa dari wabak COVID-19, ” katanya.