UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Shuib tolak dulu tawaran dari dunia seni

Shuib Sepahtu mengambil keputusan berehat dahulu daripada dunia seni untuk menumpukam kepada anak bongsu, Ayash Affan yang dilahirkan pramatang.

Pelawak dan usahawan itu berkata, sejak Ayash pulang ke rumah selepas 38 hari dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, rutin hariannya berubah.

“Sampai bila saya berehat, perkara itu belum pasti lagi. Buat masa ini, saya enggan terbabit dengan komitmen seni kerana tidak mahu menyusahkan syarikat produksi andai terpaksa tarik diri pada saat-saat akhir.

“Selain itu, saya perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal.

Ayash pula berkehendakkan penjagaan rapi.
“Ayash sihat dan tidak banyak ragam. Tetapi sebagai bayi pramatang, saya sangat berhati-hati kerana paru-parunya belum kuat.

“Ayash sensitif kepada asap dan habuk. Apatah lagi dengan keadaan pandemik membuatkan saya trauma untuk keluar rumah kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya selepas majlis bacaan Yasin secara maya sempena 40 hari pemergian isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akibat COVID-19 pada 9 Ogos lalu.