UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Siapa “singa” di Melaka?

KENYATAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang memberi gambaran bahawa terdapat ‘dua singa atas satu gunung’ dalam pentadbiran kerajaan negeri menimbulkan tanda tanya.

Siapakah figura politik yang dimaksudkan beliau, seandainya satu singa merujuk kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, bagaimana pula dengan satu lagi singa yang diperkatakan Idris?

Menurut Utusan Malaysia cerita-cerita yang dijaja daripada mulut ke mulut mendakwa, singa kedua tersebut berkemungkinan dirujuk kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sumber dalaman UMNO memaklumkan, Idris serta dua lagi Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Noorhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad kecewa dengan mekanisme membuat keputusan yang tidak muktamad pada peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Katanya, semuanya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pemimpin yang lebih berkuasa, melangkui bidang kuasa jawatan Ketua Menteri yang disandang Sulaiman. Maklumat tersebut boleh dikatakan berasas, ini kerana ketika sidang akhbar oleh empat ADUN kerajaan itu semalam, Idris dengan jelas menyebut, beberapa keputusan yang sudah diputuskan kerajaan negeri tidak dapat dilaksana disebabkan keadaan berkenaan.

“Ketidakyakinan kami  terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang telah meletakkan seolah-olah Melaka ini dalam keadaan flip flop. Keputusan-keputusan kerajaan yang tidak terlaksana, yang telah diputuskan tidak terlaksana.

“Seolah-olah, ada dua singa atas satu gunung. Ini menimbulkan keresahan kami, membawa kami kepada kesedaran untuk mengubah keadaan yang ada ini,” katanya dalam sidang akhbar di Banda Hilir semalam.

Selain Idris, Noorhizam dan Noor Effandi, seorang lagi yang turut serta ialah ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. Sebelum ini, Idris dan Noorhizam menafikan penglibatan mereka.

Namun, teka-teki pergelutan politik di Melaka terjawab apabila ADUN yang disebut-sebut terlibat, telah mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap Ketua Menteri.

Kedudukan terkini blok UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya sekadar memiliki 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),
Pakatan Harapan (PH) pula 11 dan kem Idris (4).

Jika wujud persefahaman antara PH Melaka yang dipimpin Adly Zahari dengan kem Idris, kerajaan negeri yang baharu bakal dibentuk dengan kekuatan 15 kerusi DUN.