UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Singapura rai, sanjung jasa pembuat kamus Melayu – Mandarin

Pasangan suami isteri yang merupakan tokoh penterjemah Bahasa Melayu ke Mandarin, dipilih sebagai penerima pertama Anugerah Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) yang berlangsung baru-baru ini.
Lapor Berita Mediacorp, Dr. Yang Quee Yee dan isterinya, Chan Maw Woh menerima pengiktirafan tersebut atas sumbangan besar lebih 50 tahun dalam menggalakkan pertukaran silang budaya antara masyarakat Cina dengan Melayu menerusi karya dihasilkan mereka.
Kamus dwibahasa Mandarin Melayu pertama yang diterbitkan pasangan itu pada 1972, dianggap sebagai antara sumber paling penting bagi Singapura.
Kamus umum itu dihasilkan selepas 10 tahun mereka memulakan projek berkenaan.
Maw Woh menerusi satu temu bual berkata, tujuan menghasilkan kamus sedemikian demi kepentingan menjalin hubungan antara masyarakat Cina dengan Melayu.
“Orang Cina mesti memahami dan mengetahui keadaan, fikiran dan kebudayaan penduduk Melayu agar kedua masyarakat ini boleh bersatu padu.
“Kami juga menulis dalam Melayu bagi memperkenalkan bahasa itu kepada orang Cina.
“Apa yang penting adalah kami mahu masyarakat Cina dan Melayu terus memperjuangkan kemerdekaan negara dahulu. Bangsa apapun harus ada persamaannya, jadi kalau kita kenal sudah tentu tiada perselisihan faham,” katanya.

Jelas Maw Woh, betapa pentingnya kamus yang dihasilkan mereka sebagai jambatan persefahaman antara kedua-dua kaum.