UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

SJMC pusat perubatan terbaik

Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) merangkul lima anugerah di Global Health Asia-Pacific Awards 2021 baru-baru ini.

SJMC juga telah dinobatkan sebagai Hospital Terbaik Tahun Ini untuk dua tahun berturut-turut.

Hospital tersebut turut mendapat pengiktirafan sebagai Penyedia Perkhidmatan Genetik Maju Tahun ini dan Penyedia Perkhidmatan Onkologi untuk tiga tahun berturut-turut.

Pengiktirafan itu adalah ekoran pencapaian hospital dalam diagnostik genetik dan molekul canggih dengan fokus kepada terapi yang disasarkan dalam onkologi.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Trish Hogan berkata, pencapaian itu adalah penghargaan kepada pasukan doktor, jururawat dan kakitangan yang sangat komited dan berprestasi tinggi yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan dan kejayaan SJMC sehingga pihaknya mampu memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada mereka yang memerlukan.

“Moto hospital kami iaitu ‘Orang Yang Menjaga Orang’ bukan hanya budaya, tetapi
ia tertanam dalam pemikiran setiap ahli pasukan kami.

“Kami akan terus menerapkan inovasi dan teknologi perubatan untuk terus maju,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada kumpulan hospital Ramsay Sime Darby Health Care, SJMC juga diberi penghormatan sebagai Penyedia Perkhidmatan Terbaik Tahun Ini kerana sumbangannya dalam menyediakan kemudahan ICU khususnya untuk pesakit Covid-19 bagi mengurangkan tekanan sistem penjagaan kesihatan awam.

Di samping itu, hospital terbabit turut mendapat penghargaan untuk Penyedia Perkhidmatan Pemulihan Robotik sebagai bukti penggunaan teknologi yang progresif dalam penjagaan kesihatan.

Anugerah Global Health Asia-Pacific bertujuan untuk mengenal pasti kemudahan perubatan dan yang berkaitan di rantau Asia Pasifik kerana kecemerlangan mereka dalam penjagaan kesihatan dan rawatan pesakit.

Penghargaan itu juga berfungsi sebagai penanda aras supaya penyedia perkhidmatan kesihatan dapat mengekalkan standard industri yang tinggi.