UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

SOP umrah akan diumumkan

Kerajaan akan mengumumkan mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengerjakan ibadah umrah kepada umat Islam di negara ini pada November depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengumuman itu mengenai SOP penghantaran jemaah umrah dalam suasana norma baharu.

“Kita akan menyusun mekanisme yang sesuai dan selamat untuk jemaah umrah sebelum kerajaan boleh mengumumkan SOP berkenaan untuk menjamin keselamatan jemaah umrah.

“Mekanisme penghantaran jemaah ke tanah suci serta SOP norma baharu bagi mengerjakan ibadah umrah berkenaan akan ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui agensinya, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah,” katanya semalam di Pengkalan Chepa seperti dilaporkan Harian Metro.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, operasi dan kuota untuk penghantaran jemaah bagi ibadah umrah bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

“Kalau Arab Saudi bagi keizinan 100,000 orang jemaah sehari untuk melakukan ibadah umrah, ia satu jumlah yang sangat besar.
“Kita akan mematuhi apa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Barangkali ada pecahan berapa untuk negara Asia, Malaysia dan lain-lain negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah kini dinaikkan kepada 100,000 orang, bermula kelmarin.