UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

SPRM tak boleh siasat SPRM, perlu serah kes kepada polis – Gobind

Tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas tiga pegawai kanannya dipersoalkan di Dewan Rakyat hari ini berikutan kes kecurian bukan di bawah bidang kuasa agensi anti rasuah itu, sebaliknya polis.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata langkah diambil SPRM itu menimbulkan tanda tanya kerana kes kecurian bukan terletak dalam bidang kuasa SPRM.

“Jadi mengapa SPRM yang buat tangkapan dan penahanan. Ini adalah perkara yang melibatkan pegawai SPRM.

“Adakah SPRM menyiasat SPRM sendiri?” katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat .

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu berkata kerajaan tidak boleh membiarkan sesebuah agensi menjalankan siasatan sesama mereka sendiri.

“Ini bukan lawak jenaka, (ia) perlu disiasat oleh badan yang bebas dan telus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Karangkraf mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki (gambar bawah) dipertanggungjawab dan digantung tugas sepanjang siasatan berjalan ke atas kes itu.

“Penyiasatan kes ini juga mestilah diambil alih serta merta oleh satu pasukan khas PDRM agar siasatan telus dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu SPRM mengesahkan menahan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan urusan kes membabitkan “seorang bekas ketua jabatan.”

Menurut kenyataan SPRM tiga pegawai berkenaan ditahan reman selama enam hari selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan menafikan polis ada menerima laporan mengenai tangkapan tiga pegawai SPRM.

Kenyataan polis itu hadir ekoran dakwaan tular berhubung kehilangan wang bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang sebelum ini didakwa dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta dana kerajaan.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan pada April lalu.

Laporan tular itu mendakwa ketika Hasanah (gambar bawah) berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati sebahagian daripadanya diganti dengan wang kertas palsu.