UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Suntikan vaksin pelajar sekolah diberi tidak lama lagi

Selain vaksin kepada pelajar, pendekatan lain bagi sekolah hadapi pandemik akan dibincangkan.

Pemberian vaksin Covid-19 kepada mereka berusia 12-17 tahun di Lembah Klang dan Labuan akan bermula tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sudah meluluskan pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan itu.

Sarawak, katanya, akan bermula hari ini dengan kumpulan usia 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi (mempunyai keadaan kesihatan kronik).

“Labuan dan Lembah Klang akan menyusuli tidak lama lagi. Kita akan bagi vaksin Pfizer,” kata Khairy dalam satu ciapan twitter, hari ini.

Sementara itu, keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan bagi sesi persekolahan secara bersemuka 3 Okt ini akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), Khamis ini.

Khairy berkata sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Radzi Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan, Sabah hari ini.

Khairy (tengah meninjau) keadaan di Hospital Tawau, semalam

Beliau berkata selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.