UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Super Mario 64 dilelong pada Harga RM6.3 Juta !

Katrij permainan video Super Mario 64 yang dilelong RM6.3 juta- Foto Heritage Auctions

Satu salinan permainan video Super Mario 64 yang berada dalam keadaan sempurna dan pembalutnya belum dibuka, berjaya dijual secara lelong dengan harga mencecah RM6.3 juta (AS$1.5 juta).

Jualan lelong permainan video Super Mario 64 itu dibuat pada Isnin, 12 Julai dan pembelinya tidak didedahkan identitinya.

Ini mengatasi rekod yang baru sahaja dicatat Jumaat lalu apabila permainan video The Legend of Zelda disambar oleh pembeli pada harga RM3.64 juta (AS$870,000).

Lelongan bekenaan dikendalikan oleh Heritage Auctions, sebuah agensi lelong terkenal yang berpejabat di Dallas, Texas di Amerika Syarikat.

Super Mario 64 adalah permainan video paling laris untuk konsol Nintendo 64 dan merupakan yang pertama memaparkan karekter Mario dalam bentuk tiga dimensi (3D), demikian menurut Heritage Auctions dalam kenyataan yang dipetik oleh The Verge, sebuah majalah atas talian.

Agensi lelong itu berkata kesemuanya terdapat “kurang daripada lima” salinan permainan berkenaan yang berada dalam keadaan yang masih baik.

Walaupun permainan video ini mungkin tidak boleh lagi dimainkan di mana-mana konsol, ia mempunyai nilai memorabilia fizikal yang tinggi, menyebabkan ada pihak yang tidak berfikir panjang untuk membelinya.

Wata, sebuah syarikat koleksi permainan video, menilaikan kartrij Super Mario 64 berkenaan pada tahap 9.8 A++ yang bermaksud ia dalam keadaan hampir sempurna dan dibungkus “seperti baru”.

Super Mario 64 juga secara meluas dilihat sebagai permainan paling penting dalam sejarah permainan video, malah ada yang berpendapat ia antara permainan video terbaik yang pernah dicipta.

https://www.theverge.com/2021/7/11/22572688/super-mario-64-most-expensive-video-game-ever-heritage-auctions