UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Syarat minit terakhir ujian Covid ke Langkawi, undang kekeliruan

Pulau Langkawi dibuka semula kepada pengunjung lengkap vaksinasi mulai hari ini

Keputusan minit terakhir Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan pelawat ke Langkawi menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum ke pulau peranginan itu, mengundang kekeliruan.

Namun, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia adalah langkah positif berikutan kebimbangan kenaikan kes jangkitan Covid-19 di Langkawi yang merupakan “gelembung perjalanan” pertama dibuka.

“Sebelum ini, saya menyatakan tiada swab test (ujian saringan). Tiba-tiba hari ini (semalam) KKM umumn pula ada swab test…tetapi KKM dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) bimbang ada kenaikan kes nanti.

Keputusan KKM berdasarkan kerisauan naik kes- Nancy

“Ini adalah satu kerisauan positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong,” katanya di Langkawi malam semalam, seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu,  Malaysia Airlines telah mengemas kini nasihat perjalanannya untuk penumpang yang menuju ke Langkawi, sejajar dengan syarat perjalanan terkini oleh KKM.

Malaysia Airlines berkata di bawah program gelembung perjalanan yang diumumkan sebelum ini, hanya pelancong yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh melakukan perjalanan ke Langkawi manakala tanggungan atau kanak-kanak di bawah 18 tahun yang belum mendapat vaksinasi mereka perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga untuk masuk ke Langkawi.

Bagaimanapun, semalam KKM telah mewajibkan penumpang berusia tujuh tahun ke atas untuk menjalani ujian COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) sebelum berlepas

Kebenaran untuk melakukan perjalanan akan bergantung kepada penilaian risiko yang termasuk status vaksinasi penumpang dan keputusan ujian COVID-19.

“Ujian RT PCR atau RTK Antigen boleh dilakukan di mana-mana kemudahan kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan sijil ujian dengan keputusan negatif perlu ditunjukkan di kaunter daftar masuk syarikat penerbangan,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan pada Rabu.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh membeli kit ujian kendiri yang menggunakan sampel air liur mereka sendiri dan menjalani ujian di Anjung Tinjau, Aras 5, KLIA.

Kit ujian tersebut juga boleh dibeli melalui penyedia perkhidmatan swasta di Anjung Tinjau.

Pegawai KKM akan mengeluarkan slip selepas selesai ujian itu dan penumpang diminta untuk menunjukkan slip tersebut di kaunter daftar masuk, menurut syarikat penerbangan itu.

Penumpang ke Langkawi perlu tunjuk slip ujian saringan di kaunter daftar masuk Malaysia Airlines

“Bagaimanapun, kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah perlu menjalani penilaian kesihatan di Anjung Tinjau, Aras 5 di KLIA dengan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan air liur.

“Kategori penumpang ini perlu melakukan perjalanan dengan ibu bapa atau penjaga yang sah yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya, keputusan ujian negatif untuk COVID-19 dan bukan kontak rapat dengan kes positif,” katanya.

Penumpang yang melakukan perjalanan ke Langkawi untuk tujuan lain selain pelancongan masih perlu menunjukkan permit polis semasa mereka memasuki terminal dan di kaunter daftar masuk.

Mereka perlu menyimpan semua dokumen yang berkaitan (slip dan sijil) untuk pengesahan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Maklumat lanjut mengenai nasihat terkini boleh didapati di https://www.malaysiaairlines.com/mhapp/hq/en/important-notice/malaysia/langkawi.html.