UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Timbalan Menteri PAS rela dihukum di dunia kerana potong “double line”

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memohon maaf susulan penularan video menunjukkan kenderaan dipercayai miliknya melanggar peraturan jalan raya.
“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia,” tulis Ahmad Marzuk di akaun Facebook peribadinya hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, sebagai manusia yang tidak sempurna, beliau mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat beliau dan kakitangannya.
Bahkan, Ahmad Marzuk juga mengambil sepenuhnya tanggungjawab dan sedia dikenakan tindakan undang-undang.
Pada Isnin, Polis Diraja Malaysa (PDRM) mengesahkan akan menjalankan siasatan berikutan laporan sebuah kenderaan mewah dipercayai milik seorang timbalan menteri dipandu dalam keadaan berbahaya.
Kejadian tersebut turut mencetuskan kemarahan orang ramai yang memberi reaksi negatif di ruangan komen di media sosial.
Tambah Ahmad Marzuk, kes tersebut dalam siasatan pihak berkuasa dan kakitangan yang terlibat juga dipanggil memberikan keterangan.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya.
“Dan sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri.
“Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat,” tulis Ahmad Marzuk lagi.

Ahmad Marzuk