UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

UK buka semula sempadan bulan depan

Lapangan Terbang Heathrow London yang lengang sejak pandemik Covid-19 melanda desak sempadan dibuka semula

Perdana menteri Britain, Boris Johnson dijangka akan meluluskan pembukaan semula pintu sempadan negara itu kepada pelawat yang sudah lengkap divaksinasi.

Financial Times melaporkan semalam, 27 Julai kebenaran masuk bakal diberikan kepada pelancong dan pengembara dari Kesatuan Eropah (EU) serta Amerika Syarikat.

Beberapa menteri dilaporkan bukan hanya menggesa perdana menteri untuk membuka semula pintu sempadan tetapi juga tidak mengenakan kuarantin ke atas pelawat yang sudah menerima suntikan dua dos vaksin.

Berita itu muncul selepas Lapangan Terbang Heathrow di London menggesa kerajaan Johnson membuka sempadan negara kepada pelawat dari EU dan AS mulai akhir bulan ini untuk membantu industri pengembaraan negara itu yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan United Kingdom kini dilapor yakin adalah selamat untuk menerima semula kedatangan pelancong asing.

Ia juga setuju mereka tidak lagi perlu menjalani kuarantin sekiranya sudah menerima dua dos suntikan.

Langkah itu dijangka dilaksanakan seawal minggu depan.