UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Untung pilih kerjaya badminton

Kerjaya sebagai pemain badminton bertahap tinggi pasti membahagiakan sesiapa yang terpilih menyertai barisan pasukan negara.
Gaji lumayan, penerbangan kelas perniagaan, pelbagai bonus menarik antara ganjaran menanti pemain badminton kebangsaan.
Namun ini hanya akan menyusul sekiranya Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik dunia.
Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan cadangan menaikkan gaji pemain sekali ganda jika mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik.
Jika cadangan itu diluluskan, kesemua pemain akan menikmati gaji baharu tahun depan.
Dalam struktur sedia ada, gaji tertinggi pemain negara adalah RM15,000 untuk mereka yang menghuNI ranking No. 1 dunia.
“Jika gaji mereka sebelum ini RM15,000 selepas ini akan mendapat RM30,000.
“Itu termasuk bonus, penerbangan kelas perniagaan dan sebagainya,” kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza, dalam majlis meraikan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Aaron-Wooi Yik meraih ganjaran RM180,000 atas kejayaan di Tokyo, termasuk RM60,000 daripada penaja 100 Plus. Jurulatih mereka, Flandy Limpele menerima RM30,000.
BAM turut mengumumkan, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Cheah Liek Hou akan menerima RM200,000, selain RM50,000 diberi kepada jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek.
“Sebelum berlepas ke Tokyo, saya ada beritahu pemain, sesiapa yang bawa balik pingat emas akan diberi insentif RM1 juta setiap seorang.
“Ganjaran itu adalah berbeza daripada SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan)
“Dalam budaya sukan berprestasi tinggi, kami mahu menerapkan budaya mereka yang berjaya akan menerima ganjaran sewajamya,” kata Mohamad Norza.