UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Video tular pengadil diserang selepas tamat perlawanan

Pengadil terpaksa dilerai daripada pegawai Sarawak United yang tidak puas hati pengadilan perlawanan menentang NS, semalam

Sejurus tamat satu perlawanan Liga Perdana semalam, sebuah video tular memaparkan sekumpulan pemain dan pegawai Sarawak United mengejar pengadil pada akhir perlawanan melawan Negeri Sembilan.

Perasaan tidak puas hati itu dipercayai berpunca dengan keputusan pengadil di minit ke-66 melayangkan kad merah kepada penjaga gawang Sarawak United, Sharbinee Allawee.

Perlawanan yang berkesudahan Negeri Sembilan menang 1-0, menyaksikan Skuad Jang memintas Sarawak United untuk ke puncak Liga Perdana dengan kelebihan satu mata sambil berbaki satu perlawanan Selasa ini.

Perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur yang penuh tegang itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan mengakhiri permainan dengan 10 pemain.

Barisan NS bimbingan K. Devan pada awalnya gagal mengambil kesempatan ke atas insiden kad merah penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee, akibat mengangkat tinggi kakinya ketika cuba menangkap bola.

Zamri Pin Ramli terbaring kesakitan ekoran terjahan Sharbinee itu tetapi penyerang import, Francis Kone, sekadar menyepak liar sepakan penalti yang diberikan.

Walaupun perlawanan kekal seimbang, sekali lagi hantaran tinggi dari bahagian sayap menjadi ramuan pelawat untuk memerangkap lawan.

Kone akhirnya berhasil memerangkap lawan menerusi tandukannya ketika dua minit melewati masa kecederaan. 

Namun, tindakannya yang membuka jersi bagi meraikan jaringan itu mengundang kad kuning kedua lalu diarahkan meninggalkan padang.

Adegan panas perlawanan tidak tamat di situ apabila berlarutan selepas wisel penamat ditiupkan.

Pertahanan Sarawak United, Badrul Affendy — yang berbalut kepalanya berikutan kekasaran awal Kone — nyata tidak berpuas dengan keputusan pengadil, Kamil Zakaria, yang merupakan seorang guru kerana mengesahkan jaringan tunggal penyerang dari Togo itu yang menerpa hingga dia terjatuh kerana disiku.

Dia lantas meluru ke arah pengadil sebaik perlawanan berakhir malah beberapa pegawai di kem kelab Borneo itu juga cuba bertindak sama sebelum ditenangkan.

Perlawanan terakhir Selasa ini bakal menyaksikan anak buah E. Elavarasan itu bertemu Johor Darul Ta’zim II sementara Negeri Sembilan berdepan PDRM.