UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Waris Pengasas Samsung guna Koleksi Hasil Seni untuk bayar cukai

Dora Maar, salah satu lukisan Picasso yang didermakan waris usahawan Samsung kepada Korea Selatan.

Setelah mengumumkan sejumlah 23,000 karya seni koleksi mendiang pengerusi Samsung, Lee Kun-hee didermakan kepada Korea Selatan sebagai usaha membayar cukai bernilai AS$10.4 bilion, kini pelbagai hasil seni berharga berkenaan sudah boleh dilihat di muzium negara itu.

Dua pameran koleksi seni berkenaan dibuka di Seoul pada Rabu, 21 Julai, hanya beberapa bulan setelah keluarga usahawaan berkenaan mengumumkan sumbangan tersebut bertujuan  menyelesaikan bil cukai mendiang, demikian lapor CNN.

Karya-karya tersebut dipamerkan di Muzium Nasional Korea dan Muzium Seni Moden dan Kontemporari Nasional (MMCA), penerima koleksi besar Lee. 

Barangan seni yang dipamerkan termasuk barang antik berusia berabad-abad dan karya seni Korea kontemporari, sementara lukisan dengan nama-nama besar pelukis Barat seperti Pablo Picasso dan Claude Monet pula akan dilancarkan tahun depan.

Lee, yang ayahnya mengasaskan konglomerat teknologi Samsung pada 1930-an, meninggal pada Oktober lalu pada usia 78. 

Pada bulan April, keluarganya mengumumkan bahawa mereka mengharapkan untuk membayar lebih separuh daripada cukai harta pusaka dalam tempoh lima tahun.

Serentak itu, Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan mendedahkan bahawa keluarga Lee menyumbangkan kira-kira 23,000 barang antik dan karya seni untuk koleksi awam. Dalam satu kenyataan media pada masa itu, kementerian berkenaan mengatakan pemerolehan itu akan membantu muzium Korea Selatan “bersaing dengan muzium terkenal di luar negara.”